Arena Permotoran

Informasi Permotoran Masa Kini

SYM Super Moped 175i didakwa bakal muncul tahun depan, harga anggaran sekitar RM7,500.00

2017 SYM Super Moped 175i (001)

Jika anda masih mengingati sebuah lagi blog milik penulis iaitu Motosikal.info, tentu anda pernah membaca dua artikel terdahulu mengenai model moped terbaharu keluaran SYM dengan enjin bersesaran 175cc. Model tersebut didakwa akan dilancarkan pada tahun depan, dengan nama yang disebut-sebut sebagai SYM Super Moped 175i.

Untuk anda yang masih ragu-ragu, terdapat keratan akhbar yang memberikan laporan mengenai kemunculan model tersebut pada tahun depan, namun tulisan yang agak kabur membataskan perincian laporan akhbar tersebut. Jadi anda tidak perlu kecewa jika SYM Sport Raider 125i yang dilancarkan baru-baru ini hanya mempunyai enjin 125cc, kerana apa yang menanti pada tahun 2017 akan datang ialah sebuah model yang lebih hebat.

Apabila dilancarkan nanti, SYM Super Moped 175i yang dilengkapi enjin dengan sistem suntikan bahan api itu dikatakan bakal ditawarkan pada harga dalam anggaran RM7,500.00 sahaja. Harga tersebut boleh dikatakan sangat berpatutan memandangkan model Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R masing-masing dijual pada harga melebihi RM8,000.00.

Seandainya benar SYM Super Moped 175i dilancarkan tahun depan, bermakna syarikat pengeluar motosikal yang berasal dari Taiwan itu merupakan yang pertama memperkenalkan sebuah moped dengan enjin dalam kapasiti tersebut. Mungkin selepas ini kita akan dapat melihat generasi baharu Suzuki Belang R150, Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R akan turut diperkenalkan dengan enjin generasi serba baharu dalam kapasiti 175cc.

Arena Permotoran 2017