Arena Permotoran

Informasi Permotoran Masa Kini

Galeri gambar Yamaha FZ150i model tahun 2016

 

The New 2016 Yamaha FZ150i (001)

Tentu ramai peminat motosikal tempatan yang merasa kecewa apabila Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) masih belum melancarkan model ‘naked’ yang ditunggu-tunggu, Yamaha M-SLAZ yang sebelum ini dilancarkan di pasaran Thailand (Yamaha Xabre di pasaran Indonesia). Entah di mana silapnya, tiada sebarang berita mengenai model tersebut dari HLYM, tanpa sebarang petunjuk yang boleh menggembirakan kita semua.

Bagaimanapun di pasaran tempatan ketika ini, HLYM menawarkan model dengan spesifikasi yang hampir sama sejak beberapa tahun yang lalu, tidak lain dan tidak bukan ialah Yamaha FZ150i versi terbaharu. Memandangkan ketika ini sudah masuk ke tahun 2016, bolehlah kita berikannya nama Yamaha FZ150i 2016, walaupun ia sebenarnya diperkenalkan sejak bulan Disember 2015 lagi. Enjinnya bersesaran 150cc (4-Stroke, Liquid-cooled, SOHC, 4-Valve, Single Cylinder), yang kemudiannya dipadankan transmisi manual 5-kelajuan.

Yamaha FZ150i 2016 dilengkapi sistem ‘Fuel Injection’ yang membolehkan penggunaan bahan api menjadi lebih cekap, manakala pilihan tiga warna terbaru biru, putih dan merah dengan corak grafik terkini menjadikan penampilannya cukup menarik dan sporty. Sistem brek cakera di depan dan belakang roda melengkapkan lagi gaya prestasinya, di samping tangki petrol seluas 12 liter untuk perjalanan lebih jauh tanpa kerap berhenti.

Tetapi sehebat manapun Yamaha FZ150i 2016, sudah tentu Yamaha M-SLAZ mempunyai ciri-ciri dan spesifikasi yang lebih mengagumkan, sehingga menjadi dambaan semua peminat motosikal Yamaha di negara kita. Mungkin HLYM mengandaikan kehadiran Yamaha M-SLAZ nanti boleh mengganggu jualan Yamaha FZ150i, namun di pasaran Indonesia, Yamaha Xabre kini bersaing dengan model Yamaha V-ixion tanpa sebarang masalah.

Diharapkan, HLYM lebih peka dengan kehendak peminat-peminatnya di pasaran tempatan, dan berani menawarkan model-model popular keluaran Yamaha yang ketika ini sedang merajai pasaran di negara-negara jiran. Sampai bila negara kita akan terpinggir, sedangkan pasaran motosikal tempatan sentiasa rancak dan mempunyai permintaan tinggi. Lancarkan Yamaha M-SLAZ seberapa segera, dan pasti ia laris bagai goreng pisang panas.

Arena Permotoran 2017